~Teruna Says :)

Thursday, 26 July 2012

Luahan Hati Si Suami Yang GAY

Saya pelajar lelaki ijazah tahun akhir berumur 24 tahun di sebuah institusi pengajian tinggi. Untuk pengetahuan Dr, saya mempunyai naluri berbeza iaitu berminat kepada kaum sejenis.

Ia bermula dari bangku sekolah. Memandangkan saya dikurniakan susuk tubuh dan rupa yang tampan, saya sentiasa 'dibayar' golongan atasan untuk memiliki tubuh saya.

Baru-baru ini, saya berkenalan dengan seorang gadis. Saya tidak tahu kenapa hati saya tertarik memandang wajahnya pertama kali sedangkan, perasaan ini tak pernah hadir sebelum ini. Saya memberanikan diri berkenalan dengannya secara dekat dan kini, kami sudah menjadi pasangan kekasih. Saya sudah berjumpa keluarga gadis itu. Mereka dapat menerima saya dan kami merancang bertunang dan mendirikan rumah tangga dalam masa dua tahun lagi.

Masalahnya, saya takut tidak dapat menjadi seorang suami yang terbaik dan mengecewakan dirinya. Saya terlalu takut akan hal ini kerana saya amat menyayanginya.


Saya tidak pernah bergaul apatah lagi menyentuh 'wanita'. Saya tak pasti bernafsu terhadap golongan wanita atau tidak. Saya menyayangi kekasih saya bukan kerana nafsu.

Bagaimana saya nak pastikan bahawa saya 'bernafsu' terhadap wanita atau tidak dan perlukah saya berkongsi masalah ini bersama kekasih saya? Bantulah saya Dr. Saya benar-benar ingin berubah. Mungkin Allah mahu mengurniakan saya sesuatu yang baik untuk kembali normal?

Daus bingung
Melaka

PENGALAMAN homoseksual yang bermula dari bangku sekolah, diajar oleh rakan yang mempunyai naluri serta minat yang sama, 'dibayar' oleh golongan atasan untuk memiliki tubuh mengimarahkan aktiviti seks songsang adik.

Jika adik ingin menjadi suami yang terbaik, antara tanggungjawab ialah memberi nafkah batin kepada isteri. Sukar menjadi suami terbaik jika tidak dapat memenuhi keinginan seksual isteri. Jika sayangkan kekasih, adik perlu lakukan sesuatu untuk tidak melukakan hatinya. Semoga cinta adik terhadap kekasih ikhlas dan akan bertahan selama-lamanya.

Cinta yang ikhlas lahir apabila seseorang itu sudah menemui insan yang paling disayangi. Tiada siapa yang boleh merosakkan cinta sejati ini. Kajian menunjukkan terdapat lelaki yang terbabit dalam kegiatan homoseksual bertahun-tahun memilih untuk tidak meneruskan aktiviti mereka.

Perubahan ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti mendapat rawatan psikoterapi. Agama juga boleh mengubah orientasi seksualiti golongan homoseksual. Jelasnya, kajian di atas menunjukkan tingkah laku homoseksual boleh diubah. Namun, ia memerlukan keyakinan dan pembabitan yang kuat di pihak adik. Adik mesti bersedia untuk memberhentikan tingkah laku mengadakan hubungan seks sesama jenis.

Antaranya ialah menghindarkan diri dengan rakan-rakan homoseksual. Adik perlu memberhentikan aktiviti daripada 'dibayar' oleh golongan atasan untuk memiliki tubuh saya. Homoseksual adalah berdosa dari sudut agama.

Sama ada adik perlu berkongsi masalah dengan kekasih, ia terpulang sama ada adik berani atau tidak.

Mungkin adik akan kehilangannya jika memberitahunya. Tetapi, jika adik tidak memberitahu kekasih perkara sebenar, dia akan lebih kecewa jika mengetahuinya selepas menjadi isteri adik.

Dari sudut positif, jika dia seorang yang rasional dan pemaaf, tentu dia memaafkan adik. Cinta sejati boleh mengatasi segala kesilapan masa lepas.

Buatlah pertimbangan, kaedah mana yang lebih memberi kesan positif dalam hubungan adik dengan kekasih.

Bagaimanapun, jika adik merasakan tidak boleh tinggalkan nafsu berahi kepada lelaki, lebih baik tidak menganiaya kekasih dengan berkahwin dengannya. Dirinya berhak mendapat suami yang dapat menjalankan tanggungjawab zahir dan batin.

Pengorbanan adik, sama ada, meninggalkan aktiviti homoseksual dan belajar mempunyai selera nafsu kepada perempuan dan menjalani kehidupan normal bersuami isteri atau terus tenggelam dalam keseronokan dunia homoseksual tetapi kehilangan nikmat beristeri adalah penentu arah hidup. Adik bertanggungjawab menentu arah hidup dan pilihlah yang terbaik demi agama dan masa depan.

No comments: